Maktab Rendab Sains MARA (MRSM)
Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang merupakan maktab yang ke-34
ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai memenuhi hasrat dan
wawasan untuk mencemerlangkan institusi pendidikan MARA (IPMA) hingga
bertaraf dunia. MRSM Transkrian merupakan MRSM yang kedua didirikan di
Pulau Pinang selepas MRSM Balik Pulau yang beroperasi pada tahun 1984.
Terletak di Mukim 9, Transkrian, Nibong Tebal di Daerah Seberang Perai Selatan, MRSM Transkrian yang luasnya 32 hektar secara rasminya beroperasi pada 1 April 2002. Seramai 17 orang guru termasuk Pengetua yang pertama, Encik Saleh bin Osman yang sebelum itu kebanyakannya berkhidmat di MRSM-MRSM lain telah melaporkan diri pada tarikh tersebut.
Cabaran yang dihadapi pada masa maktab ini baru dibuka tidak melemahkan semangat para pendidik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kegemilangan bersama. MRSM Transkrian telah menerima kumpulan penuntut sulung seramai 100 orang yang merupakan pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada 22 April 2002 manakala pelajar-pelajar Tingkatan 1 yang sebelum itu ditempatkan sementara di MRSM Pontian, Johor selama 5 bulan mula melaporkan diri pada bulan Jun 2002.
Kumpulan perintis ini dengan penuh
semangat telah sama-sama mengharungi jerit perih untuk menjayakan agenda
pendidikan MARA di sini. Kesungguhan dan kegigihan mereka tidak sia-sia
kerana apabila keputusan SPM 2003 diumumkan. mereka berjaya memperoleh
Gred Purata Maktab (GPM) 2.415. Kecemerlangan ini terus menjadi tradisi
dan pemangkin kepada kumpulan kedua dan ketiga yang mengambil SPM pada
2004 dan 2005.
MRSM Transkrian telah dilengkapi dengan kemudahan bilik-bilik kelas, dewan besar, bilik seminar, makmal-makmal termasuk makmal komputer, makmal multimedia, makmal kemahiran hidup serta makmal reka cipta, surau, dewan makan, pusat pelajar dan pusat sumber pembelajaran. Beberapa kemudah atau prasarana yang lain akan terus disediakan oleh pihak maktab demi memastikan keselesaan pelajar belajar. Dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara (JLN), maka mulai April 2004, suasana di sekeliling kampus maktab telah bertambah ceria melalui projek pengindahan.
Kini, dengan gaya pentadbiran yang mantap dan tersendiri yang diterajui oleh Pengetua, Encik Samsudin Bin Suip dengan dibantu oleh Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik, Puan Norhayati, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Ustaz Jantan dan Timbalan Hal Ehwal Kokurulum, Encik Shamsuri bin Mahat serta gemblengan tenaga para guru dan kakitangan yang komited. MRSM Transkrian akan terus bergerak maju untuk merealisasikan impian maktab sebagai 'A Thinking and Enriching College' dan slogan 'Better Than The Best' seiring dengan Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) MARA, 'Pendidikan Cemerlang Generasi Gemilang'.
